KEBANYAKAN masyarakat kita meletakkan sasaran untuk bernikah pada
usia sebelum menjengah 30 tahun. Tidak kira sama ada mereka itu individu
lelaki mahupun wanita, lingkungan usia sebegitu dilihat sangat sesuai
untuk memikul tanggungjawab alam berumahtangga.Sungguhpun begitu, jodoh pertemuan bukanlah suatu perkara yang dapat
kita tentukan dengan pasti kerana sebagai manusia biasa, kita hanya
mampu merancang manakala Tuhan yang akan menentukan. Ada sebahagian daripada kita akan menamatkan zaman bujang mereka pada
usia muda tatkala baru menjejak awal 20-an dan ada juga sebaliknya yang
menemui jodoh pada usia dianggap sudah terlebih matang. Aktres berdarah kacukan Melayu-Amerika, Julia Ziegler mengakui pada
usianya 29 tahun sekarang, ia adalah waktu yang sesuai untuknya
melangsungkan perkahwinan. Justeru, dia akur dengan kehendak perasaan
bakal menamatkan zaman bujangnya dalam waktu terdekat.
"Saya sedar kini saya tidaklah muda seperti dahulu. Ramai rakan-rakan
sebaya lain juga sudah ramai yang mendirikan rumah tangga, malahan ada
yang sudah mempunyai cahaya mata. Begitu juga dalam keluarga saya. Adik lelaki yang berusia 28 tahun
juga sudah berkahwin dan kakak saya yang berusia 35 juga bakal berkahwin
tidak lama lagi. Faktor-faktor inilah yang membuatkan saya rasa sudah bersedia untuk
menamatkan zaman bujang, terutamanya setelah bertemu dengan insan yang
saya rasanya sesuai menjadi pasangan," katanya yang ditemui sewaktu
majlis pelancaran Teater Muzikal Asmara Songsang di Istana Budaya, baru-baru ini.
Teater tersebut merupakan teater kedua yang dijayakan Julia dan akan
dipentaskan selama dua hari pada bermula 1 Mac ini di Lambang Sari,
Istana Budaya. Kata Julia lagi, dia kini sedang dalam proses mengenali hati budi
seorang jejaka yang merupakan seorang ahli perniagaan yang telah
dikenalinya sejak kira-kira lapan tahun lalu.
"Kami berkenalan sudah lama, sejak kira-kira lapan tahun lalu tetapi
hanya selepas mengerjakan Umrah pada tahun lalu hati saya terbuka untuk
menerimanya lebih daripada seorang teman. Sewaktu berada di sana, hati saya tiba-tiba terbuka untuk menerima
cintanya walaupun sebelum ini saya merasakan hubungan antara kami tidak
lebih hanya sekadar kawan baik. Kami belum berbincang secara serius untuk mendirikan rumah tangga,
tetapi kami sama-sama tahu perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan
lagi. Berhubung perkahwinan, saya juga tidak mahu berkahwin terlalu lambat
jadi diharap peminat dapat mendoakan yang terbaik buat diri saya, jika
tidak tahun ini mungkin tahun hadapan," katanya.Jelas Julia lagi, individu tersebut bukanlah orang yang terlibat
secara langsung dalam industri hiburan tetapi adalah seorang ahli
perniagaan.
2013 untuk filem
Mula dikenali sebagai model dan pelakon iklan sebelum mula melibatkan
diri dalam dunia lakonan, Julia mahu memberi tumpuan kepada industri
filem pada tahun ini."Saya sedar pada tahun lalu, nama saya sedikit menyepi daripada
industri hiburan dan saya juga tidak banyak terlibat dalam mana-mana
drama mahupun filem.
"Ini kerana selain tidak mempunyai sebarang kontroversi, saya juga
lebih banyak menghabiskan masa untuk melancong pada tahun lalu. Antara tempat-tempat yang saya lawati termasuklah Indonesia,
Australia dan juga Tanah Suci Mekah," katanya yang memilih untuk
melancong sebagai terapi dan untuk berehat seketika daripada dunia
lakonan.
Dalam tahun ini, pemilik nama sebenar Julia Bob Fauzi Ziegler bakal muncul dengan dua buah filem yang berjudul Aku Akan Muncul dan Dari Kerana Mata selain beberapa drama bersiri dan telemovie seperti Amanah Cinta, Teduhan Kasih dan Lara Kasih. Sementara itu, Julia mengakui kemunculan artis baru terutamanya
pelakon wanita semakin bertambah saban tahun dan sebagai pelakon,
pastinya kedudukannya semakin tercabar.
"Memang saya akui sedikit tercabar dengan kehadiran pelakon-pelakon
baru tetapi sebagai anak seni, itu merupakan perkara biasa dan lumrah
industri ini. Apa yang penting adalah saya perlu fokus kepada perjalanan karier
seni saya sendiri dan sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik
sesuai dengan kehendak pengarah dan juga penonton," kata pelakon utama
drama bersiri Fatimah Juling.
Artikel Penuh: Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130220/hi_01/Sedang-mengenali-pasangan#ixzz2LhWTq0s7
© Utusan Melayu (M) Bhd
http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130220/hi_01/Sedang-mengenali-pasangan#ixzz2LhWTq0s7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment