heder1

 photo headercopy_zps723c4858.jpg

Friday 22 February 2013

Dikritik ekoran kesalahan anak

 Amy dan anaknya Nabila

SAMA tetapi tidak serupa. Ketiga-tiga mereka ialah artis, yang pernah melalui zaman popular lebih tiga dekad yang lalu. Secara kebetulan, ketiga-tiga mereka mewariskan legasi seni kepada anak-anak, hasil darah daging sendiri. Dan kebetulan juga, banyak isu kontroversi dikaitkan dengan anak-anak mereka sejak akhir-akhir ini.

Barangkali juga, Datuk Yusof Haslam, ND Lala dan Amy Search adalah antara ‘bapa-bapa’ yang namanya paling banyak diperkatakan dalam negara kita ini, terutamanya pada ketika ini. Mana tidaknya, anak-anak yang menjadi penerus legasi seni mereka tidak sudah-sudah dihadapkan dengan pelbagai kontroversi.

Sayang isteri, tinggal-tinggalkan... Sayang anak, tangan-tangankan. Istilah di atas antara istilah berkaitan hal-hal kekeluargaan dalam membina atau membentuk rumah tangga yang harmoni dan saling memahami. Dalam institusi kekeluargaan, si bapa sebagai ketua keluarga harus bijak dalam menangani bukan sahaja kebajikan isteri, tetapi juga hal-hal berkaitan anak-anak.

Tiada manusia yang sempurna dalam kehidupan. Setiap orang pasti melakukan kesilapan dan setiap kesilapan itu memerlukan kemaafan.

Begitu juga dengan sikap anak-anak terutamanya yang masih muda kerana sifat ghairah melakukan sesuatu yang baru itu sedang membara tidak kira perlakuan jahat atau baik. Tiada yang terlepas daripada melakukan kesilapan walaupun kesilapan kecil. Bagi orang biasa, kesalahan itu mungkin dapat ditutup jika tidak dihebahkan.

Namun, bagi seorang artis, setiap kesilapan yang dengan mudah dapat dihidu terutamanya si kaki gosip yang sentiasa bergerak aktif mencari cerita sensasi sang artis, melangkaui tugas wartawan hiburan.

Menambah masalah, bapa atau ibu artis itu yang juga seorang artis pasti akan terpalit dengan kesilapan yang dilakukan anaknya. Pelbagai tohmahan dilemparkan kepada si anak yang telah mencalit arang ke muka keluarga terutamanya bapa dan ibu.

Masyarakat pula tanpa usul periksa terus menghukum anaknya walaupun kesalahan yang dilakukan bukan olehnya. Kalau diimbas kembali kes-kes berkaitan, banyak kes-kes sebegini melibatkan anak yang mempunyai bapa yang sangat berpengaruh dan dikenali ramai. Adakah sangat mencabar bagi seorang mereka untuk menjaga seorang anak yang juga seorang artis sehingga mereka terlepas pandang hal anak-anak yang seterusnya mencalit arang ke muka mereka?

Bagi penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam, baginya, cabaran sebagai bapa di zaman moden dalam mendidik anak-anak sememangnya lebih sukar, tidak terhad kepada artis semata-mata. Namun dia mengakui, sebagai insan dikenali, kes-kes membabitkan anak-anak seni sepertinya lebih mendapat perhatian masyarakat.

Apatah lagi, menurut Yusof, peranan dirinya tidak terhad sebagai bapa sahaja, tetapi juga sebagai seorang majikan kepada pekerjanya.

“Sebagai bapa, kita sepatutnya bukan sahaja patut memahami anak-anak, tetapi mereka juga patut memahami ayah mereka. Sifat ini yang sebenarnya akan memastikan hubungan kekeluargaan menjadi lebih utuh," katanya.

Tambah Yusof, dia sendiri juga merupakan seorang yang tegas dalam membentuk anak-anaknya. Tegas yang dimaksudkan Yusof bukan selalu marah-marah, memberi arahan semata-mata atau tiada toleransi, sebaliknya adalah untuk mengelakkan anak-anak ini daripada hanyut.

“Sebab mereka ini masih muda, ranjau dalam bidang seni itu orang kata masih terlalu banyak untuk ditempuhi. Darah muda ini lain, macam-macam yang hendak dicuba. Apatah lagi kalau anak-anak kita terlibat dalam dunia seni juga, cabarannya lebih berganda.

“Kita sebagai seorang yang berpengalaman kena selalu berpesan mengenai perkara itu supaya mereka tidak lupa," ujarnya.

Sementara itu, bagi legenda rock negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman pula berkata, tidak sukar untuk menjaga anak yang menjadi insan seni. Cara mendidik dan membesarkan mereka juga, tidak banyak beza berbanding bapa-bapa lagi.

“Kalau diikutkan tidak sukar sebenarnya. Caranya sama sahaja dengan cara bapa lain membesarkan anak. Apa yang lain ialah status sahaja. Bila dah dikenali, maka segala perlakuan menjadi tumpuan. Orang akan bercakap apa saja tentang kita, itu sahaja bezanya," jelasnya.

Bagi Amy sendiri, kebebasan diberikan kepada anaknya untuk melakukan perkara yang disukai semenjak awal lagi. Tetapi perlu diingat, ini bukan bermakna si anak bebas melakukan apa sahaja tanpa memikirkan soal maruah keluarga.

“Saya selalu pesan pada dia (Nabila Huda), buat apa yang kamu suka, tetapi pastikan jaga batas-batas yang ditetapkan," jelasnya.

Cara Amy itu menggunakan pendekatan tidak terlampau mengongkong sebaliknya menyerahkan kepada anaknya tanggungjawab untuk menjaga namanya dan keluarga.
Memang bagus pendekatan yang digunakan, tetapi adakah kematangan anak-anak ini sudah cukup untuk melepaskan tanggungjawab itu? Di situ persoalannya.

Perlu kematangan

Selak kembali kes-kes melibatkan artis yang buat hal, kebanyakannya terlibat dengan masalah salah laku ketika berada dalam usia yang muda.

Siapa makan garam lebih awal, tahu bagaimana pahitnya rasa itu.

Bagi Amy, apa yang dikatakan kematangan itu sebenarnya terletak pada anak itu sendiri, bukan kita yang menentukan sama ada dia sudah matang atau tidak.

“Kita tidak boleh tentukan tahap kematangan anak kita, tetapi kita boleh bentuk kematangan itu. Saya sudah berada lama dalam industri, malah saya juga pernah melakukan kesilapan satu masa dahulu.

“Ranjau dan onak duri sebagai seorang pemain dalam industri seni selalu saya ceritakan pada Nabila Huda supaya dia tahu dan ambil pengajaran.

“Selebihnya saya serahkan pada dia sendiri. Sebab itu saya selalu pesan padanya, walau apa pun yang dia lakukan, sentiasa bertanggungjawab.

“Dia yang memilih untuk melakukan perkara itu, jadi dia perlu bertanggungjawab," jelas Amy

Pengalaman sebenarnya adalah guru yang terbaik dalam kehidupan, namun, adakalanya kita terlampau emosi. Apatah lagi jika seseorang itu masih dalam peringkat usia yang muda, rasa emosi dan ego sangat tinggi dalam diri. Perkara ini yang boleh menyebabkan berlakunya perselisihan faham di antara kedua-dua pihak iaitu bapa dan anak.

Selisih faham

Bila berlakunya selisih faham, siapa yang sepatutnya memainkan peranan dalam menjernihkan kembali perkara ini. Yang muda pastinya akan terlalu mengikut emosi jiwa muda mereka yang sentiasa ingin memberontak.Bapa juga ada egonya sendiri sebagai seorang ketua keluarga, tetapi perlu sebenarnya bagi seorang ketua untuk tidak terlalu mengikut emosi kerana ia hanya akan mengeruhkan keadaan.

Bersetuju dengan kenyataan di atas, jelas Yusof, dia juga tidak terkecuali dalam perkara ini.
“Biasalah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula rumah tangga. Bagi saya mudah, yang tua jangan terlalu emosi," jelasnya.

Hakikatnya kalau api disimbah dengan api, ia hanya memarakkan nyalaan.
Tambah Yusof, dia suka menggunakan pendekatan berbincang tentang masalah yang berlaku.
“Jangan mudah melatah. Bincang dahulu dan nilai semula apa yang terjadi.

“Bapa kena memahami anak-anak dan juga sebaliknya. Bila dua-dua dah memahami peranan masing-masing, senang hendak bertolak ansur dan pasti susah berlaku perselisihan faham jika kita menegur apa kesilapan anak-anak itu," jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130219/hi_02/Dikritik-ekoran-kesalahan-anak#ixzz2LeKbN9bZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment